Simpanan KWSP Pelaburan Terbaik Untuk Kegunaan Perubatan Di Hari Tua

GEORGE TOWN, 29 Dis (Bernama) — Menjalani kehidupan yang sempurna dengan kurniaan kesihatan yang baik adalah pelaburan terindah ketika menempuhi episod kehidupan apatah lagi saat-saat ketika melalui usia persaraan.

Justeru, untuk meraih kesihatan terbaik sepanjang hidup, perancangan juga harus diteliti sedari usia yang muda terutama dalam aspek kewangan bagi menjamin seseorang itu dapat menampung perbelanjaannya ketika diuji dengan tahap kesihatan yang tidak memuaskan.

Bagi seorang mekanik Shahrul Azlan Aziz, 38, wang yang mencukupi perlu ketika menjalani kehidupan semasa tempoh persaraan memandangkan pada usia sebegitu kebanyakan individu lebih terdedah dengan risiko kesihatan seperti pelbagai jangkitan penyakit sama ada penyakit ringan ataupun berbahaya yang memerlukan rawatan sepanjang hayat.

“Pada tempoh demikian, wang yang kita simpan semasa mencarum di Kumpulan Wang Simpanan Pekerja (KWSP) ketika bekerja menjadi nadi penting untuk perbelanjaan merawat kesihatan diri pada ketika kita memerlukan nanti.

“Seperti saya pada usia 55 tahun, wang itu yang akan saya belanja dan simpan untuk kegunaan perubatan. Saya lebih menitikberatkan untuk kegunaan perubatan berbanding hal lain kerana pada masa tersebut hanya itu sumber wang yang kita ada disebabkan sudah tidak bekerja lagi,” katanya kepada Bernama baru-baru ini.

Shahrul Azlan berkata rawatan di hospital memerlukan wang yang banyak dan persediaan rapi perlu dilakukan ke arah itu.

Katanya, aspek lain yang akan difokuskan selepas memperoleh wang KWSP itu adalah perbelanjaan harian dan mungkin menyelesaikan hutang yang masih berbaki sebelum persaraan.

Bagi wanita muda Nurul Izzati Mamat, 23, yang mempunyai pandangan senada dengan Shahrul Azlan menyatakan pentingnya wang KWSP yang diterima selepas usia 55 tahun digunakan bagi kegunaan perubatan.

Pembantu tadbir itu berkata ketika meniti usia hampir separuh abad, sudah semestinya kebanyakan hutang yang dimiliki atau dibebani seseorang itu sudah hampir dilunaskan.

“Ketika umur menjengah 55 tahun, kebanyakan kita sudah pasti tidak ada banyak hutang yang perlu dibayar. Sebagai contoh rumah jika dibeli pada usia muda saya rasa ia sudah hampir habis dibayar, begitu juga dengan hutang kereta.

“Jadi pada saya elok duit simpanan KWSP itu digunakan untuk menampung kos perubatan,” katanya.

Nurul Izzati berkata apabila bersara nanti sudah semestinya beliau akan memilih hospital atau pusat perubatan swasta sebagai pilihan memandangkan rawatan yang diberikan lebih cepat dan efektif serta tidak perlu menunggu lama, maka sudah semestinya wang yang banyak perlu dperuntukkan untuk merealisasikan hasrat berkenaan berikutan kos di pusat swasta lebih tinggi.

“Setiap orang punya pilihan dan pandangan tersendiri untuk memilih destinasi rawatan, saya sudah semestinya akan memilih pusat perubatan swasta kerana lebih privasi dan sekiranya perlu ditahan di wad ia lebih tenang ketika berada di situ berikutan tidak sesak,” katanya.

Selain kesihatan, Nurul Izzati berkata beliau hanya akan menggunakan sedikit wang tersebut untuk perbelanjaan anak-anak dan membesarkan rumah sedia ada.

“Saya juga merancang untuk menggunakan wang itu bagi memperluaskan atau memperbesarkan rumah untuk menambah ruang, ia lebih mudah sebab kita tidak perlu membuat pinjaman bank kerana ia adalah duit hasil titik peluh sendiri,” katanya.

— BERNAMA